KUALA LUMPUR, 19 June 2012
Bapa, anak serasi
Oleh Hidayah Mohammad
Dua beranak lalui detik transformasi rai hari istimewa
PENGHARGAAN buat insan bergelar bapa terasa sebegitu istimewa setiap kali tibanya Jun yang sudah sinonim sebagai bulan bapa. Biarpun Hari Bapa diraikan pada Ahad lalu, hakikatnya, tiada had tempoh meraikan lelaki yang juga pemimpin keluarga ini. Malah, seharusnya tiada kekangan untuk meraikan insan penting ini, apabila anda berasakan sudah tiba masanya meraikan insan tersayang ini.
Sambutan hari bapa bertujuan mengingatkan kita bahawa jasa ayah juga sebesar jagaan ibu yang bersusah payah mengandung, melahirkan dan menjaga kita hingga berjaya.
Lazimnya mereka diraikan dengan sekadar membeli hadiah, tetapi apa salahnya jika insan tersayang itu diraikan dalam bentuk mengubah gayanya. Lebih manis andai anak lelaki turut sama melalui transformasi gaya supaya ada keserasian.