Jenama koleksi Muhammad Ali
Oleh Norhadiani Baharom, My Metro
LORD’S TAILOR, jenama yang cukup terkenal dan sering menjadi tumpuan golongan usahawan serta kenamaan. Percaya atau tidak Lord’s Tailor bukan saja pernah dikunjungi Muhammad Ali pada 1975, bahkan beberapa rekaan jenama itu pernah menjadi antara koleksi bekas peninju terkemuka itu.
Selain Ali, bintang Hollywood Mel Gibson juga pernah menempah sut jenama berkenaan. Malah, saban tahun penampilan artis lelaki popular tempatan bagaikan tidak lengkap untuk melangkah penuh gaya ke Anugerah Bintang Popular Berita Harian tanpa sut mahupun tuxedo Lord’s Tailor membaluti tubuh mereka. Tidak kurang juga memilih rekaan jenama itu sebagai persalinan untuk majlis perkahwinan mereka.
Sedikit latar belakang mengenai Lord’s Tailor, ia diasaskan oleh Robert Loh. Dia mula mengenal benang dan jarum ketika berusia 16 tahun lagi. Merantau ke London untuk belajar kemahiran menjahit dan pulang semula ke Kuala Lumpur untuk membuka kedai jahit di Jalan Alor, Kuala Lumpur.
Lord’s Tailor menjadi pilihan ramai kerana mampu menghasilkan rekaan terbaik bermula dari mengambil butiran terperinci ukuran pakaian pelanggan. Bahagian penting badan seperti bahu, belakang, dada dan perut diukur dengan tepat kerana bahagian-bahagian ini boleh menentukan sama ada sut dapat dihasilkan dengan baik atau tidak.